Pentingnya Bengkung Untuk Ibu Selepas Bersalin

Kebaikanamalan pemakaian bengkung bagi ibu-ibu selepas bersalin

Pemakaian bengkung dalam komuniti Melayu bagi para ibu selepas bersalin telah bermula sejak turun-temurun. Ilmu penjagaan selepas bersalin dan berpantang diperolehi daripada individu yang dikenali sebagai Mak Bidan.

Jika di kampung-kampung dahulunya, Mak Bidan merupakan individu yang dihormati dan dipandang tinggi kerana mereka adalah orang yang bertanggungjawab menyambut kelahiran bayi dan memastikan keadaan ibu dan bayi tersebut selamat. Meskipun masih wujud pengamal ilmu perbidanan masa kini, namun arus pemodenan menyebabkan para ibu lebih selesa menjalani proses kelahiran di hospital atau pusat rawatan yang dipercayai lebih selamat dan menyeluruh buat kedua-dua ibu dan bayi tersebut. Peranan Mak bidan kini lebih tertumpu kepada proses penjagaan ibu sewaktu di dalam pantang.

Secara fitrahnya kehamilan dan proses melahirkan bayi memberi kesan yang besar terhadap kesihatan seorang wanita. Perubahan fizikal luaran dan dalaman seseorang wanita tersebut seperti otot, tulang, urat-saraf, sendi dan organ-organ terpenting akan terjejas disebabkan oleh hormon-hormon kehamilan yang sedang menyediakan tubuh ibu untuk tumbesaran bayi di dalam kandungan serta proses kelahirannya.

Mengikut kepercayaan tradisi, pemakaian bengkung secara amnya dapat mengempiskan perut, mengecutkan uterus dan mengetatkan kembali vagina si ibu.

Peranan Bengkung Dipercayai Dapat Membantu :

  • Mengempiskan perut, mengurangkan berat badan dan membentuk kembali tubuh ibu
  • Memberi sokongan pada bahagian organ dalaman tubuh si ibu yang ‘membengkak’
  • Mengetatkan bahagian perut yang menggeleber akibat daripada bahagian otot perut yang lemah
  • Membantu postur tubuh ibu dalam keadaan sesi penyusuan badan
  • Memecahkan lemak dan selulit
  • Mencegah pengambilan makanan secara berlebihan

Pemakaian bengkung secara tradisional ini boleh digunakan oleh para ibu yang melahirkan bayi secara normal seawal hari ketiga. Namun begitu, pemakaian bengkung tradisional ini tidak sesuai bagi ibu yang menjalani proses kelahiran secara pembedahan atau melalui kaedah Cesarean.

Ini kerana ia melibatkan bahagian luka jahitan yang memerlukan masa untuk sembuh. Penggunaan fabrik sokongan yang tidak bersesuaian pada bahagian jahitan juga boleh menyebabkan terjadinya jangkitan dan melambatkan proses penyembuhan luka jahitan tersebut. Oleh yang demikian, rata-rata para doktor tempatan dahulunya hanya menyarankan para ibu yang melalui proses kelahiran secara pembedahan ini menggunakan bengkung atau ‘girdle’ hanya selepas 2-3 minggu (atau apabila luka jahitan telah benar-benar sembuh).

Walau bagaimanapun, dalam bidang perubatan yang melibatkan pembedahan dan jahitan pada bahagian tubuh, kebanyakan para doktor akan menggunakan ‘bandage’ atau ‘binder’ bagi memastikan bahagian luka jahitan tersebut dilindungi dan disokong.

Pemakaian pakaian sokongan (gred medikal) bagi para ibu yang melalui pembedahan Cesarean ataupun normal di negara barat sudah tidak asing lagi. Ini disebabkan di negara Barat, istilah berpantang tidak pernah wujud di dalam kamus hidup mereka. Apa yang ditekankan hanyalah pemakanan yang sihat dan seimbang serta senaman yang bersesuaian buat para ibu untuk proses pemulihan diri.

Meskipun telah wujud ‘bandage’ dan ‘strap binder’ untuk sokongan pada bahagian pembedahan di bahagian perut ibu, namun penggunaan ‘strap binder’ didapati hanya sesuai untuk pemakaian pada hari pertama hingga ketiga selepas pembedahan Cesarean.

Oleh kerana terdapat beberapa kelemahan ‘strap binder’, maka pakaian sokongan Cesarean yang merupakan ‘bandage’ di dalam bentuk ‘girdle’ telah diperkenalkan untuk memberi sokongan secara total (360 darjah) pada tubuh ibu. Kesesuaian pakaian sokongan Cesarean (gred medikal) ini adalah untuk kegunaan pada seawal hari keempat telah memberikan alternatif pada para ibu untuk mendapat sokongan menyeluruh pada tubuh. Ianya bermanfaat seperti sokongan pemakaian bengkung tradisional yang diperolehi oleh para ibu yang melalui proses kelahiran secara normal.

Komen & Pendapat Anda?