Keperluan Berbarut Dan Berbedung Pada Bayi Baru Lahir

Berbarut atau berbengkung adalah amalan popular bagi masyarakat Melayu khususnya bagi ibu yang baru saja melahirkan anak. Sudah menjadi tradisi, bayi yang dilahirkan dipakaikan barut yang dipercayai dapat melindungi bahagian perut bayi dari mengalami kembung perut dan penyakit yang lain. Berbarut atau berbengkung dilakukan ke atas bayi yang baru lahir seawal usia dua hari. Sementara itu berbedung pula dilakukan ke atas bayi tanpa mengira usia kelahiran. Walau bagaimanapun, dalam budaya Melayu, berbedung sering dilakukan pada usia bayi seminggu hingga enam bulan.

Terdapat peraturan yang perlu dipatuhi ketika memakaikan barut pada bayi. Sebelum memakaikan barut, bayi perlu dimandikan dengan air suam-suam kuku. Disebabkan tali pusat bayi belum tertanggal, maka tali pusat bayi perlu dikeringkan terlebih dahulu dengan menggunakan kain kapas yang lembut sebelum mengenakan pakaian pada bayi.

Apabila bahagian tali pusat dikeringkan, perut bayi dilumurkan dengan minyak telon yang merupakan campuran tiga minyak iaitu minyak adas, kayu putih dan kelapa atau boleh juga menggunakan minyak kayu putih sahaja. Kemudian sehelai kain yang ukurannya sesuai dengan saiz badan bayi diikat kemas tetapi tidak terlalu ketat dan longgar.

Tujuan pemakaian barut pada bayi adalah untuk mengelakkan daripada terkena penyakit kembung perut. Barut juga bertujuan bagi menjaga bahagian tali pusat yang belum tertanggal daripada terkena gigitan semut atau serangga kecil. Dengan memakai barut dapat memudahkan tali pusat tertanggal dengan cepat tanpa menyakitkan bayi.

Kebiasaannya, ketika usia bayi tujuh hari, tali pusat tertanggal dengan sendirinya. Meskipun tali pusat sudah tertanggal, tidak bermakna bayi tidak perlu memakai barut. Dalam budaya Melayu, bayi tetap berbarut sehingga usianya meningkat dua bulan. Hal ini demikian kerana bahagian pusat bayi masih belum kering sepenuhnya. Selepas bayi dikenakan pakaian yang lengkap, sehelai kain yang lebar dililit pada bahagian tubuh bayi dan kain tersebut dijadikan kain bedung.

Kain bedung digunakan untuk membalut keseluruhan tubuh bayi daripada paras bahu hingga kaki. Selepas kain dibalut di badan bayi, kedua-dua hujung kain dipertemukan di bahagian kaki dan hujung kain tersebut mengikat kedua-dua belah kaki bayi di paras buku lali.

Berbedung bertujuan untuk meluruskan tubuh bayi terutama di bahagian kaki. Dipercayai bahawa berbedung dapat mengelakkan bayi yang meningkat dewasa berjalan mengengkang. Berbedung juga dapat menggalakkan bayi tidur dengan lena kerana bayi berasa seolah-olah dipeluk oleh ibunya. Sebelum dibedung, selalunya si ibu melakukan urutan di bahagian kaki bayi secara perlahanlahan

(Sumber: Warisan, Majalah Dewan Budaya bulan Oktober 2011)

Komen & Pendapat Anda?